Tablet Metformin dengan sendirinya tidak akan menyebabkan paras glukosa rendah (hipoglisemia). Tetapi jika anda rasa tidak sihat semasa anda berpuasa, anda boleh mempertimbangkan mengurangkan dos atau mengubah masa anda mengambilnya. Dos terbesar perlu diambil semasa Iftar, agar ia berkesan semasa anda makan.
Acarbose: Jika anda mengambil acarbose dan anda rasa tidak sihat semasa berpuasa, anda boleh mempertimbangkan mengurangkan dos atau mengubah masa anda mengambilnya. Jika anda terus mengambilnya, dos terbesar perlu diambil semasa Iftar, agar ia berkesan semasa anda makan.
Sulphonylurea (contohnya gliclazide, glibenclamide, glimepiride, Dimicron MR): Jika anda mengambil tablet sulphonylurea atau pengawal atur glukosa semasa makan (repaglinide, metaglinide, nateglinide), perlu disedari bahawa ini boleh merendahkan paras glukosa (hipoglisemia) apabila anda berpupasa, yang boleh menyebabkan anda rasa tidak sihat. Dos Sahur anda mungkin boleh dikurangkan tetapi dos yang sama boleh diambil semasa Iftar. Ubat yang lebih lama, contohnya glibenclamide perlu dielakkan. Bincang dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat perubahan rawatan khusus untuk anda.
Tablet Pioglitazone tidak merendahkan paras glukosa (hipoglisemia) jika diambil secara bersendirian. Tiada pengubahsuaian dos diperlukan semasa Ramadan, tetapi anda perlu mengambil ubat ini semasa Iftar, bukan Sahur.
Perencat DPP4 (juga dikenali sebagai gliptin (contohnya sitagliptin, saxagliptin) secara umumnya tidak merendahkan paras glukosa (hipoglisemia) secarabersendirian. Selain itu, memandangkan ia diambil sekali sehari, anda boleh terus mengambilnya seperti biasa, atau, jika lebih memudahkan, anda boleh mengambilnya dengan makanan, contohnya semasa Iftar.
Perencat SGLT2 (contohnya dapagloflozin, empagloflozin, canagloflozin) secara umumnya tidak merendahkan paras glukosa (hipoglisemia) jika diambil secara bersendirian jadi anda boleh terus mengambilnya seperti biasa, mengambil dos yang lebih kecil atau, jika lebih memudahkan, ambilnya dengan makanan, contohnya semasa Iftar. Meningkatkan pengambilan cecair semasa tidak berpuasa adalah disyorkan.
Suntikan bukan insulin seperti agonis GLP-1 (biasanya diberikan melalui suntikan mingguan atau harian, contohnya Trulicity, exenatide, liraglutide, semaglutide). Ini tidak merendahkan paras glukosa (hipoglisemia) secara bersendirian jadi ia mungkin boleh terus diambil asalkan anda memantau paras glukosa darah anda dengan teliti. Namun, ia boleh menyebabkan rasa loya. Sama ada anda boleh terus mengambil suntikan ini akan bergantung kepada paras glukosa darah dan gejala anda.